Friday 31 August 2012




Kelas : Buku

Kumpulan : Cerpen
Muka surat : 143 Muka surat
Penulis : 11 Penulis-penulis Sabah
Harga : 18 Ringgit Malaysia

SINOPSIS :

"TAMU bukan hanya menceritakan tentang suasana pasar, tetapi membawa anda semua ke satu sisi kisah kehidupan, kemanusiaan dan penderitaan. Pertemuan para penulis tanpa bersemuka ini merupakan satu tafsiran mereka terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling. Terpulang pada anda untuk menerimanya atau tidak, kerana anda adalah tetamu di dalam cerita ini."

MUKA SURAT PERTAMA :

HARAAM - Iqram Murtaza

Hijau. Akhirnya. Tidak terungkap perasaanku sekarang. Setelah berhari-hari kulihat biru, akhirnya kutemui juga hijau yang kucari. Perasaan aku ketika ini sama seperti perasaan imigran-imigran berbangsa Yahudi yang lari dari kegagalan Revolusi Jerman 1848 dan berbulan-bulan mengharungi kebiruan Lautan Atlantik. Rasa putus asa, hilang harapan dan kecewa mula terasa sehinggalah terpacak seorang perempuan gergasi mengangkat obor berada di hadapan mata mereka. Dengan kelihatannya Statue of Liberty itu menandakan imigran-imigran Yahudi yang lari dari Jerman sudah pun mengorak satu langkah untuk mencapai impian mereka. Impian yang dicipta berdasarkan harapan. Impian yang digelar The American Dream.

Begitulah perasaanku pada ketika ini. Cuma tidak ada Statue of Liberty di hadapan mata sebagai penyambut untuk aku tanam harapan American Dream di dalam hati, tapi daratan yang ku lihat ini sudah cukup untuk menanam sebuah harapan yang lain. Badan yang penat akibat daripada berhari-hari mengharungi Laut Sulu tiba-tiba jadi bertenaga. Tidak ada setitik pun Red Bull, Gatorade atau apa sahaja minuman isotonik diteguk untuk menghasilkan tenaga yang datang entah dari mana ini. Semakin hampir bot kecil ini dengan darat, semakin kuat degupan jantungku.

Aku tidak pasti apa yang akan aku temui di hari-hari yang mendatang. Aku tiba tanpa apa-apa, cuma membawa secebis harapan di dalam hati. Harapan untuk merebut peluang mencapai kejayaan melalui kerja keras. Perjalanan aku ini diilhamkan oleh James Truslow Adams yang berkata “hidup sepatutnya lebih baik dan lebih penuh, dengan peluang untuk setiap individu mengikut kebolehan tanpa mengira kelas sosial”. Di hari-hari yang lalu di tempat asal aku, ini semua mustahil.

Aku sedar perjalanan aku ini melanggar hukum manusia. Kekangan terhadap pergerakan merentasi sempadan, sama ada ianya dimiliki oleh negara ataupun persendirian sudah lama wujud dan akan terus wujud. Seperti tukang kebun melindungi sebidang tanah miliknya, tamu yang tidak diundang sudah pasti akan disambut dengan senapang patah.


Untuk membeli Buku TAMU, klik sini.

Thursday 23 August 2012







Kelas : Zine 
Kumpulan : Cerpen
Muka surat : 91 Muka surat
Penulis: 14 Penulis-penulis Warna Kaseh
Harga: 10 Ringgit Malaysia

SINOPSIS :
"Pilihan menampilkan cerpen dari 14 orang penulis tetap blog Warna Kaseh. Memaparkan kisah cinta yang digarap dari kacamata manusia. Persimpangan hidup yang harus dipilih untuk memiliki dan menakluk sebuah perasaan iaitu 'cinta'. Tatkala manusia berdiri di persimpangan yang masih kabur penghujungnya samada dia akan bahagia ataupun derita."


MUKA SURAT PERTAMA : 

PENCINTA GILA - Kenanga Suchi

Mya mengeluh panjang. Kesakitannya semakin tidak tertahan lagi. Berdenyut-denyut uterusnya terasa. Semakin lama semakin kuat denyutan itu, seakan ada tangan kasar yang sedang merobek kejam rahimnya. Dia kini sudah mula meraung kuat. Matanya meliar mencari si suami di mana.

“Abang, tolong Mya, sakit sangat ni… Mya sudah tak tahan rasanya… tolong Mya, abang…” menjerit meraung panggil suaminya. Matanya sudah mula kabur seakan ingin pitam. Dalam samar lampu tidur di biliknya, Mya nampak suaminya tergesa-gesa datang berlari ke arahnya. Mukanya kerisauan.

“Kenapa ni sayang?” tanya Azim cemas. Kelihatan isteri kesayangannya sudah terbaring di lantai, mengerang kuat. Tubuh Mya berpeluh basah sekali, menggeletar menahan kesakitan yang semakin menggila. Azim mengangkat Mya ke atas katil. Melihatkan keadaan isterinya itu, Azim sudah tahu puncanya.

Setiap bulan begitulah keadaan isterinya. Pitam dan muntah-muntah sudah biasa. Beberapa kali juga dikejarkan ke wad kecemasan untuk menerima suntikan ubat penahan sakit. Tapi kali ini tampak lebih dahsyat. Sudah diberikan ubat penahan sakit tadi, namun seakan tiada kesan juga.

Kasihan melihat keadaan isterinya itu, lantas Azim bangun menuju ke dapur. Diambilnya pisau, kain batik dan Clorox. Lalu pantas menuju kembali ke biliknya.

“Tahan sikit ya sayang… Abang nak cuci uterus sayang ni. Biar darah tu keluar semua sekali. Lepas ni, tak sakit lagi. Tahan ya sayang… Sikit saja ni… Tak sakit sangat pun…” Azim mengusap lembut ubun-ubun isterinya sambil mencium dahi Mya dengan penuh kasih sayang.

Azim membuka baju Mya yang sudah terkulai lemah menahan kesakitan. Perlahan-lahan diambil pisau tadi lalu membelah perut isterinya.


Untuk membeli Zine PILIHAN, klik sini